Memperingati Detik Kemerdekaan Kita

PENOLAKAN PENJAJAHAN INGGERIS


Pada tahun 1946, Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah dan mengundurkan tenteranya. Namun rakyat menolak penjajahan Inggeris kerana corak penjajahan Jepun yang zalim dan kejam begitu menghantui.

Inggeris telah mengatur rancangan membentuk Malayan Union di Tanah Melayu. Sir Edward Gent, telah dihantar untuk menerajui Malayan Union yang pertama. Beliau telah mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut di Kuala Lumpur. Rakyat menolak penubuhan Malayan Union malah juga ditentang oleh Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu dan rakyat tempatan mula menentang upacara itu dan berkabung selama satu minggu.

Pada tahun 1946, Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan satu kongres bagi semua kumpulan dan pertubuhan politik Melayu di Tanah Melayu. Kongres ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 1946. Dalam kongres tersebut, satu kata sepakat telah dicapai bagi membentuk sebuah parti politik sebagai wakil seluruh orang-orang Melayu di Semenanjung. Hasilnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah dibentuk.

Bermula dari situ satu usaha ke arah memperjuangkan kemerdekaan Malaya telah tercetus dan akhirnya ke arah pembentukan negara Malaysia. Dengan beberapa barisan pejuang yang berjiwa kental yang antaranya terdiri dari Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn, maka pada 31 Ogos 1957 negara tercinta Malaysia telah menyaksikan satu detik bersejarah dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda berakhirnya sebuah penjajahan British di Tanah Melayu.

PERPADUAN POLITIK


Bumi ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Pemimpin yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu sememangnya bukan sedikit.

Namun sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah. Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan 30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima cadangan Malayan Union.

Maka pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union, British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei 1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad.

Terdapat juga kumpulan politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun 1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun 1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA. Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai Perikatan.

Bagi Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya menyertai Rancangan Malaysia pada 1963.

PILIHAN RAYA UMUM PERTAMA


Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

PENGISTIHARAN KEMERDEKAAN


Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menelefon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam 9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci. Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki.

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!"

0 comments:

Post a Comment