Identiti Negeri Sabah


Bendera Negeri Sabah

Bendera negeri Sabah bersegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu berwarna biru tua meliputi suku bahagian bendera ini.

Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.

Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.


Jata Negeri Sabah

Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah.

Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.

Lagu Negeri Sabah

"Sabah Tanah Airku"

Sabah tanah airku
Negeri kita yang tercinta
Pemuda pemudi Semua marilah
Bangunlah bersatu semua
Marilah bersama serta maju jaya
Merdeka sepanjang masa
Bersatu segala bangsa sentosa
Sabah negeri merdeka

Lagu ini berunsur patriotik bagi menanam semangat kerjasama dan bersatu ke arah kemajuan di samping memperingati kemasukan negeri Sabah ke dalam gugusan merdeka bersama-sama negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia termasuklah Sarawak pada tahun 1963.

Lagu ciptaan H.B. Hermann dari Jalan Geylang, Singapura telah dipilih dan diisytiharkan sebagai lagu Sabah. H.B. Hermann adalah seorang pemain biola profesional yang telah mendapat pendidikan awal di Warsaw, Poland dan sebelum berhijrah ke Singapura pernah mengembara ke Jerman, Rusia dan Siberia untuk mengadakan pertunjukan opera dan muzik.

0 comments:

Post a Comment