Kenali Perdana Menteri Malaysia


PERDANA MENTERI MALAYSIA PERTAMA



TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

BAPA KEMERDEKAAN

Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand. Ini bermakna Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.

Pada waktu kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai. Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine's College, Universiti Cambridge, England.

Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.

Apabila kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.

Dalam pergi mencari seorang Kapten Melayu yang hilang di Singapura, Tunku telah didapati oleh askar Jepun di check point Johor Bahru ada memilik sepucuk pistol. Beliau nyaris-nyaris ditembak di situ juga kalau tidak dengan takdir Tuhan beliau sempat mengeluarkan surat kuasa dari tentera Jepun di Kedah.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KEDUA


TUN ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSIEN

BAPA PEMBANGUNAN

Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas

Sewajarnyalah beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.

Semasa di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union. Beliau terpaksa kembali ke tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Empat bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955. Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13 tahun.

Dalam tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.

Konsep demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah pembangunan. ` Gerakan pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.

Tun telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan, bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan bantuan kewangan dan teknik yang disediakan. Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.

Pendek kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai. Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga sebagai Bapa Perdamaian.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KETIGA


TUN HUSSIEN BIN DATO` ONN

BAPA PERPADUAN

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12hb. Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin Ja'afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor. Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.

Apabila perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah peperangan tamat beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten.

Beliau pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Datuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.

Berjuang di samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan seterusnya dalam tahun 1950 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan.

Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu bersara dari politik, beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958.

Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada bulan Jun 1969 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September, 1970. Sebagai Menteri Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO.

Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Berikutnya, beliau mengumumkan satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalannya.

Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN. Pada akhir tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. UMNO telah menunjukkan jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru hara, Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti pembangkang.

Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang bermanifesto "A man whom you can trust" (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri. Dalam pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KEEMPAT


TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

BAPA KEMODENAN

Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.

Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star.

Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.

Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.

Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.

Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.

Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KELIMA


ABDULLAH AHMAD BADAWI

BAPA PEMBANGUNAN ISLAM HADHARI

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan Presiden UMNO, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Dilahirkan kepada sekeluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.

Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.

Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.

Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parliamen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.

Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.

Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.

Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam.

Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KEENAM


DATO' SERI NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

BAPA GAGASAN 1 MALAYSIA

Impian sepanjang hayat Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak, ialah satu Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit untuk semua rakyat.

Sebagai putera kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abd Razak, Najib dilahirkan di tengah-tengah gelanggang politik. Najib membesar dengan memerhatikan bapanya serta memahami kehendak politik arus perdana. Beliau sentiasa mengerti bahawa bila sampai waktunya beliau juga mahu berbakti kepada masyarakat dan negara. Namun pemergian bapanya pada ketika yang tidak dijangka, 14 Januari 1976, ketika menjejaki usia 54 tahun, telah menyorongkan Najib ke hadapan sehingga menjadi tumpuan utama. Lima minggu selepas pemergian bapanya, pada usia 22 tahun, Najib telah terpilih untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pekan, menjadikan beliau Ahli Parlimen yang paling muda dalam sejarah Malaysia. Pada 2004, beliau telah menyandang jawatan kedua tertinggi dalam negara sebagai Timbalan Perdana Menteri, 47 tahun setelah bapanya dilantik ke jawatan yang sama.

Dato' Sri Mohd Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan di St. John’s Institution, Kuala Lumpur dan Malvern Boy’s College, Worcestershire, England sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham University. Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, beliau telah menyertai dunia korporat bila berkhidmat untuk satu waktu yang singkat dengan Bank Negara, kemudiannya beralih ke PETRONAS (perbadanan petroleum negara) sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam. Namun pemergian Tun Abd Razak secara tiba-tiba itu telah merobah corak kehidupan beliau secara dramatik.

Najib pantas menyesuaikan dirinya dengan kehidupan umum sebagai Ahli Parlimen, dan kemudiannya mendapati kemahiran berpolitik itu begitu serasi dengan dirinya. Tidak lama kemudian, Najib yang masih muda belia telah memperlihatkan bahawa beliau ialah seorang ahli politik yang boleh dipercayai dan berkebolehan serta berhak dipanggil pemimpin atas keupayaan dirinya sendiri. Pada tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Pos, dan kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada 1982, Perdana Menteri yang baru, Dr. Mahathir Mohamad telah mencalonkan Dato’ Sri Mohd Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pekan.

Berikutan dengan kejayaannya, Najib yang berusia 29 tahun ketika itu dilantik menjadi Menteri Besar Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Pahang pada ketika itu hampir-hampir terjebak dalam satu krisis politik disebabkan oleh perbezaan yang serius antara bekas Menteri Besar dan Sultan Pahang. Tetapi Najib bukan sahaja sebutir bintang yang sedang bergemerlapan, beliau juga ialah salah seorang daripada Pembesar Berempat Istana Pahang (kerana mewarisi gelaran turun temurun sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar). Dengan yang demikian diterima dengan tangan terbuka oleh pihak Istana. Krisis yang melanda itu dengan cepat dapat diredakan, memastikan perpaduan dalam UMNO Pahang. Selanjutnya Najib memulakan langkah untuk mengukuhkan pendidikan di dalam negeri.

Pada 1992 Najib telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Yayasan Pahang, sebuah yayasan yang membaktikan kepada penggalakan pendidikan dan sukan di kalangan belia Pahang melalui biasiswa dan pembiayaan. Najib telah memperkukuh perusahaan negeri untuk memaksimumkan pendapatan daripada sumber kekayaan semula jadi negeri Pahang. Dengan kerjasama FELDA, Perbadanan Pembangunan Tanah Persekutuan, beliau telah merintis jalan kepada pembentukan skim penempatan tanah baru, memberikan peluang-peluang pendapatan baru kepada mereka yang tidak mempunyai tanah dan berada dalam kelompok yang berpendapatan rendah.

Dato Sri Mohd Najib mula menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO pada 1982, dan naik sebagai ketua pergerakan tersebut pada 1987. Pada 1988, setelah satu pergolakan menguasai parti, satu UMNO baru yang telah disusun semula diwujudkan dan Najib telah dilantik sebagai Ketua Pemuda, jawatan yang disandang beliau sehingga 1993.

Dalam pilihan raya 1986, Najib dikembalikan sebagai Ahli Parlimen kawasan Pekan, dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sebaik sahaja dilantik beliau terus memberikan tumpuan kepada penggalakan sukan dan memperkenalkan Dasar Sukan Negara pada 1988. Pada 1989, Malaysia telah mencapai kejayaan yang terbaik pernah dicapainya di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun itu.

Pada 1991, Dato’ Sri Najib telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Najib telah mencergaskan semula sebuah Kementerian yang dilihat sebagai tidak bermaya dan lembap. Beliau telah memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Pada 1995, Dato’ Sri Najib mengalami perubahan dalam portfolio kabinet, yang mana beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mengambil cabaran untuk menyambut aspirasi Malaysia yang baru sahaja diumumkan ketika itu, untuk menjadi sebuah negara maju yang sepenuhnya pada tahun 2020. Sepanjang tempoh lima tahun perkhidmatannya, Najib telah mewujudkan mekanisme yang dapat membolehkan generasi rakyat Malaysia menghadapi cabaran masa mendatang.

Beliau telah menstrukturkan semula Kementerian ini, memperbadankan universiti dan institusi awam, serta menggalakkan kerjasama dengan universiti dan institusi luar negara. Langkah ini telah memberikan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai satu hab pembelajaran serantau. Dato' Sri Najib juga telah meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi.

Pada 1999, berikutan pergolakan politik pada tahun sebelumnya, Najib memenangi pemilihan semula kerusi Parlimen Pekan. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan buat kali keduanya dan meneruskan usaha untuk meningkatkan dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia. Apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004, Dato’ Sri Najib telah diserahkan dengan portfolio tanggungjawab yang banyak dan besar, termasuk mengawasi FELDA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau mempengerusikan 28 Jawatankuasa Kabinet yang membincangkan pelbagai isu. Dato’ Sri Najib telah berkahwin dengan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, dan bapa kepada lima orang anak.

Pada 3hb April 2009, Dato; Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dalam satu proses peralihan kuasa yang lancar oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dan kini telah menggagaskan dasar 1 Malaysia yang bermaksud "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

0 comments:

Post a Comment