Pakaian Tradisional

Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.

Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.

Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.

Melayu



Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala

Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang.

Cina



Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India



Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya




Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.

Portugis-Eurasian



Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak




Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.

Sabah



Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.

Orang Asli



Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.

Penduduk di Malaysia



 Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu, telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya. Segala aspek negara, dari latarbelakang penduduknya, hinggalah kekayaan senibinanya, mencerminkan penggabungan warisan dan budaya yang pelbagai.

Kinilah masanya, Malaysia adalah destinasinya.
Terokailah Bumi Pelbagai Budaya

Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik.

Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Semenanjung Melayu

Melayu



Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu.

Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Cina



Ini adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada pendatang ke negara ini pada kurun ke-19. Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai berniaga.

Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanahair di Johor.

India



Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India yang berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu.
Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta yang diamalkan di India. Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.
KUMPULAN ETNIK PRIBUMI

Orang Asli



Orang Asli adalah terma yang digunakan untuk kumpulan etnik pribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Mereka dibahagi kepada tiga kumpulan utama: Negrito, Senoi dan Proto-Melayu. Kumpulan Negrito biasanya tinggal di utara, Senoi di pertengahan dan Proto-Melayu di selatan. Setiap kumpulan dan kumpulan etnik kecil mempunyai bahasa dan budaya tersendiri. Ada yang menjadi nelayan, peladang dan ada yang kerap berpindah-randah.

SABAH


Kaum etnik terbesar Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.

Kadazan Dusun




Kumpulan etnik terbesar Sabah, Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi negeri itu. Terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun mereka digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan secara tradisi terlibat dalam penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.

Bajau



Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda, yang turut dipamerkan setiap tahun di festival Tamu Besar di Kota Belud.

Murut




Kaum etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi 3 peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Seperti kebanyakan kaum pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.

Sarawak

Secara kolektifnya, kumpulan etnik utama di Sarawak dikenali sebagai Dayak, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. ‘Dayak’ yang bermakna ‘hulu’ atau ‘pedalaman’, digunakan sebagai istilah umum oleh penduduk Islam pinggir pantai bagi merujuk kepada lebih 200 kumpulan suku peribumi yang tinggal di kawasan pedalaman. Lazimnya mereka tinggal di rumah panjang, iaitu rumah komuniti tradisional yang boleh memuatkan antara 20 hingga 100 buah keluarga.

Iban




Kumpulan etnik terbesar Sarawak, kaum Iban merangkumi 30 peratus populasi negeri ini. Kadangkala mereka dikategorikan secara salah sebagai etnik Dayak Laut kerana kepakaran mereka menggunakan bot, bagaimanapun, mereka sebenarnya kaum dari hulu sungai di tengah-tengah Kalimantan. Dahulu kala, mereka adalah pejuang yang sangat gagah berani dan terkenal dengan ‘ngayau’ atau pemburuan kepala serta aktiviti pelanunan. Secara tradisi, mereka menyembah tiga Tuhan di bawah kekuasaan Singalang Burung, Tuhan burung peperangan. Walau kebanyakan mereka kini beragama kristian, mereka masih mengamalkan amalam tradisi.

Bidayuh




Kaum Bidayuh Sarawak terkenal kerana keramahan budaya mereka, selain menjadikan kawasan pergunungan negeri ini sebagai tempat kediaman. Ada yang merupakan peladang, dan pemburu. Mereka juga terkenal kerana minuman tuak (arak beras). Dahulu, sewaktu zaman pemburuan kepala, hasil pemburuan tersebut diletakkan di dalam sebuah ‘baruk’. Baruk adalah sebuah rumah bulat yang dahulu kala menjadi tempat bagi pemuda Bidayuh mengawal kampung mereka. Ia dibina tinggi, kira-kira 1. 5 meter dari tanah dan berfungsi memantau pergerakan dari pelbagai arah. Asalnya mereka mengamalkan ajaran animisme dan kini ramai yang telah memeluk agama Kristian.

Orang Ulu




Dikenali sebagai kaum hulu sungai Sarawak, mereka kira-kira 5.5 peratus populasi Sarawak dan terdapat lebih 100,000 suku etnik Orang Ulu di sini. Mereka adalah antara kaum pribumi Borneo yang paling artistic, dengan penggunaan pelaratan yang dihiasi seni tangan manik yang halus, dan juga kaum wanita yang berpangkat tinggi turut menghiasi tubuh mereka dengan seni lukisan tatu.

Keranamu Malaysia



Buruh, nelayan dan juga petani
Gaya hidup kini dah berubah
Anak-anak terasuh mindanya
Lahir generasi bijak pandai

Pakar IT, pakar ekonomi
Jaguh sukan dan juga jutawan
Berkereta jenama negara
Megah menyusur di jalan raya

Alam siber teknologi terkini
Kejayaan semakin hampiri
Biar di kota ataupun desa
Kita semua pasti merasa bangga

Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara

( ulang dari mula )

Keranamu Negara Malaysia...
Malaysia...
Terima kasih Malaysia!!!

Saya Bangga Menjadi Rakyat Malaysia!


"Terima Kasih Atuk dan Nenekku!"


31 Ogos 1957, suatu tarikh di mana menitisnya air mata, terungkapnya senyum kepuasan dan melahirkan rasa kepuasan kepada para penduduk Malaya ketika itu. Setelah sekian lama dijajah, tarikh inilah Malaya dibebaskan dari segalanya. Setelah sekian lama bermandi darah, tarikh inilah menyucikan mereka daripada warna merah darah. Setelah sekian lama penuh hiba dan takut, tarikh inilah memberi kepuasan kegembiraan kepada mereka semua.

Tarikh kemerdekaan Malaya merupakan suatu tarikh wajib yang harus diingati oleh setiap yang bergelar warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Tarikh ini merupakan suatu tarikh nostalgia dan kenangan sepanjang zaman yang seharusnya warganegara perlu sentiasa tidak alpa dan sentiasa menghayati setiap perjuangan yang telah dibuat oleh perjuang-perjuang negara untuk memastikan pada tarikh 31 Ogos 1957 itu, laungan MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! berkumandang di ruang maya Malaya ketika itu.

Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang kaum kerabat Kesultanan Negeri Kedah telah dengan lantang dan bersemangat melaungkan kalimah MERDEKA di Stadium Merdeka pada tarikh tersebut. Ini secara tidak langsung telah memperlihatkan bahawa kemerdekaan negara kita penuh dengan kedaulatan dan kemuliaan, ditambah dengan jasa dan pengorbanan para perjuang kemerdekaan yang mengorbankan apa sahaja demi untuk memerdekakan negara.

Negara Malaysia kian hari kian bertambah maju dan berjaya. Setelah Almarhum Tunku tidak lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku telah tidak teragak-agak untuk memberi jawatan tersebut kepada Tun Abdul Razak Hussein bagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Kedua. Tun Razak telah menerima jawatan berat itu dengan penuh semangat kebangsaan kerana beliau tahu bukan mudah untuk negara ini mencapai 31 Ogos 1957 tersebut. Tun Razak telah memacu negara dengan menekankan atau mengutamakan rakyat jelata agar kemerdekaan negara akan terus terbela.

Setelah kematian mengejut Tun Razak di luar negara, kemerdekaan negara telah dibela dan dipelihara oleh Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia Ketiga. Tun Hussein tahu bahawa hanya dengan perpaduan rakyatlah kemerdekaan sesebuah negara itu akan dapat kukuh dan terpelihara sampai bila-bila. Oleh yang demikian, Tun Hussein telah memacu Malaysia dengan menekankan konsep perpaduan antara kaum di Malaysia agar kemerdekaan negara yang dicapai dengan penuh kemegahan pada 31 Ogos 1957 tidak akan diperbodohkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.



Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat menggantikan Tun Hussein. Tun Dr. Mahathir merupakan seorang negarawan Malaysia yang cukup dikagumi kawan dan lawan dari dalam dan luar negara kerana pemikiran dan strategi beliau dalam memacu negara tercinta. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 bukan suatu perkara yang mudah untuk dikecapi, oleh itu Tun Dr. Mahathir telah menggagaskan Wawasan 2020 sebagai hala tuju Malaysia demi memelihara kemerdekaan dan kemakmuran negara. Selama 23 tahun bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir telah 'membina' Malaysia mengikut acuan sendiri dan telah 'membina' benteng-benteng kemerdekaan negara dari diceroboh oleh bangsa asing yang sudah semestinya kurang senang dengan kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia sehingga kini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelima yang banyak menumpukan kepada keterbukaan dan integriti di Malaysia. Tun Abdullah sedar bahawa dengan adanya keterbukaan yang baik di negara ini, sesebuah kemerdekaan negara itu boleh dikuatkan melalui rakyatnya yang diberi beberapa 'kuasa' dalam sistem demokrasi dan keterbukaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia Keenam yang mula mengambil tampuk pemerintahan negara pada April 2009 lalu. Datuk Seri Najib merupakan seorang yang genius dan berpandangan jauh. Beliau mengakui bahawa kemerdekaan negara suatu yang mudah untuk dikecapi tetapi amat sukar untuk dikekalkan. Oleh itu, Datuk Seri Najib telah menggagaskan 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai suatu konsep negara ke arah memelihara kemerdekaan negara melalui tiga petunjuk utama iaitu perpaduan rakyat, kepentingan kepada rakyat dan kualiti kerja yang cemerlang. Datuk Seri Najib berani membuat transformasi kepada barisan kepimpinan negara dengan 'merakyatkan Yang Berhormat' atau memastikan setiap wakil rakyat atau menteri tidak lagi dilayan atau dilihat sebagai 'Raja Rakyat' tetapi perlu dilihat sebagai 'Rakan Rakyat' melalui pendekatan konsep 1 Malaysia ini.

Diharapkan Malaysia tercinta ini akan terus terpelihara kemerdekaannya sehingga bila-bila kerana setiap daripada rakyat Malaysia ini tidak mahu lagi dijajah buat kali kedua. Apa yang rakyat mahukan ialah gerakan untuk mengekalkan kemerdekaan negara yang telah 52 tahun kita sama-sama mengecapinya kini. Dengan berkat Ramadan Al-Mubarak ini juga, rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agama seharusnya bersama-sama berdoa kepada Tuhan untuk memelihara kemerdekaan negara kita dan bersama-sama bersatu hati, bersama sejiwa sebangsa untuk mengekalkan kemerdekaan negara Malaysia bagi 52 tahun akan datang iaitu ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-104 suatu ketika nanti disambut dengan penuh keseronokan, kesyukuran dan ungkapan TERIMA KASIH ATUK DAN NENEKKU yang memelihara kemerdekaan Malaysia ini. Berilah hadiah kemerdekaan negara kita kepada cucu-cicit kita dengan selesa dan warna warni.



"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"

(Tulisan Sarfarizmal Md Saad, Universiti Kebangsaan Malaysia, 31 Ogos 2009)

Inilah Hukumnya...


Warga Kita Terpaksa Cuci Pinggan di UK

LONDON 11 Okt. - Beratus-ratus rakyat Malaysia yang 'mengoyakkan' pasport mereka dan berlepas ke Britain dengan kepercayaan mereka boleh menuntut hak kerakyatan negara tersebut di bawah undang-undang kolonial yang aneh, mendapati diri mereka sekarang tidak mempunyai negara dan terdesak.

Dee, seorang arkitek terlatih dari Pulau Pinang, Malaysia kini terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran Cina di tengah London - yang juga seorang mangsa berkata, 'hak kerakyatan di Britain bukanlah sesuatu yang nyata'.

"Saya telah menjadi seorang pendatang haram... sebenarnya lebih teruk kerana mereka sekurang-kurangnya ada negara untuk mereka pulang, tetapi saya tidak,'' katanya yang berusia 34 tahun kepada AFP.

Satu klausa undang-undang memberikan penduduk Pulau Pinang dan Melaka status Kerakyatan Luar Negara Britain (BOC) apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Etnik Cina di dua negeri itu yang juga sebahagian tanah jajahan Britain di Tanah Melayu atau Malaya, yang sentiasa berhati-hati terhadap diskriminasi di bawah sebuah negara yang didominasi masyarakat Melayu Islam, diberi jaminan mereka boleh mengambil jalan keluar dengan menetap di Britain.

Aktivis imigrasi berkata, ratusan rakyat Malaysia memohon hak kerakyatan Britain, kebanyakannya diberi hak tersebut selepas menetap di Britain lebih lima tahun dalam tahun 1980-an dan 1990-an. Undang-undang imigresen telah diperketat pada 2002, menyaksikan tamatnya polisi membenarkan rakyat Malaysia dengan status BOC untuk mendaftar sebagai warga Britain.

Namun, keliru dengan perubahan tersebut, ditambah dengan sikap tidak jujur peguam yang mencari keuntungan semata-mata, membuatkan ramai rakyat Malaysia terus membuat permohonan. Dee yang melihat ramai rakannya dengan status BOC berjaya mendapatkan hak kerakyatan turut memohon pada 2003.

Ben Scaro, seorang peguam bela Australia yang memperjuangkan hak golongan BOC berkata, situasi menjadi bertambah kusut apabila kes-kes terbabit dibiarkan tidak selesai selama bertahun-tahun dan surat yang dikirim pada tahun 2005 memberitahu pemohon, mereka tidak boleh meneruskan permohonan melainkan mereka dapat membuktikan mereka telah hilang kerakyatan Malaysia. Kesannya, ramai individu dengan status BOC termasuk Dee melepaskan kerakyatan Malaysia - satu proses yang sangat sukar untuk diundurkan semula.

"Saya telah mengisi borang untuk melepaskan kerakyatan Malaysia dan pasport saya telah dipotong. Saya juga telah diberitahu pegawai Kedutaan Besar Malaysia di sini bahawa saya bukan lagi warga negara Malaysia.

"Apa yang membuatkan situasi bertambah buruk, kerajaan Britain masih menganggap kami rakyat Malaysia, sedangkan Malaysia menyatakan kami bukan lagi rakyatnya. Ini tidak masuk akal,'' katanya. - AFP

(Utusan Malaysia, 12 Oktober 2009)

Pengajarannya:
Daripada hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri. :)

Pejuang Kemerdekaan

DATUK BAHAMAN


Pada hari ini dalam tahun 1892, Dato' Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato' Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan gegabah C. E. B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato' Bahaman dengan tuduhan mengumpulkan hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili di Lubuk Terua juga.

Menyedari tentang hal itu, Dato' Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough itu, membunuh tiga orang, melukakan beberapa orang yang lain Ialu, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato' Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, . bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah terlarang, sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W. E. Maxwell meminta supaya Semantan dipersatukan dengan Selangor.

Walaupun beliau menyangkal tuduhan itu Sultan telah memerintahkan Orang Kaya itu mengadap baginda di Pekan. Orang Kaya itu enggan Ialu menghilangkan diri di dalam hutan di tengah-tengah masyarakat orang-orang asli yang memang bersahabat baik dengan beliau, tetapi keluar apabila mengetahui orang-orangnya ditangkap oleh pasukan Desborough, menyerang pasukan itu dan membebaskan orang-orangnya.

Berikutan daripada itu pada 24hb Disember, 1891, Tengku Mahmud (Tengku Besar) bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato' Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh.

Berikutan dari kegagalan itu "Gerakan Sultan" dilancarkan pada 22hb .Januari, 1892 dengan kekuatan 800 orang (140 daripadanya mempunyai senjatapi) yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato' Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap.

Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Tidak terdapat sebarang aktiviti pihak Dato' Bahaman di sepan.jang bulan Februari itu. Untuk sementara daerah Semantan diletakkan di bawah jagaan Abdullah Bera. Tiba-tiba, pada hari ini dalam tahun 1892 Dato' Bahaman menyerang lagi dan berjaya menawan semula Lubuk Terua. Dalam serangan itu Abdullah Bera balik ke Bera dan Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato' Bahaman terhadap Inggeris.

Bagaimanapun, kejayaan Dato' Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise (Majistret di Temerloh). Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

MAT KILAU



PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan. Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.

ekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum. Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.

Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu. Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau.

Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh. Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

MAT SALLEH



Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.

Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa. Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894. Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897. Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.

Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.

Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan. Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapatbeberapa terowong atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya'. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

TOK JANGGUT


Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’. Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas. Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara. Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini. Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung. Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya.

Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran. Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915. Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

DOL SAID


ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832. Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka. Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut. “Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832. Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah.

Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional. Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said.

Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka. “Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan. “Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.

Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi. Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.

Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu. “Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya.

Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning. “Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British.

“Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan. “Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya.

DATUK MAHARAJA LELA


Dato' Maharaja Lela Pandak Lam adalah salah seorang pembesar delapan Perak. Pandak Lam adalah keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Daeng Salili dating ke Perak ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Beliau dilantik sebgaai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato? Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya.

Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak dan merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan tersebut. Beliau bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato? Sagor) dan Ngah Kandin telah merancang dan membuat pakatan menentang penglibatan British di Perak dengan membunug Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch).

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah. Penglibatan Dato’ Maharaja Lela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W Birch adalah melaksanakan keputusan mesyuarat Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar atau wakilnya.

Namun, perjuangan beliau didapati bersalah oleh mahkamah yang bersidang dari 14-22 Disember 1876. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877. Disini dapat disimpulkan bahawa Dato’ Maharaja Lela adalah pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Memperingati Detik Kemerdekaan Kita

PENOLAKAN PENJAJAHAN INGGERIS


Pada tahun 1946, Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah dan mengundurkan tenteranya. Namun rakyat menolak penjajahan Inggeris kerana corak penjajahan Jepun yang zalim dan kejam begitu menghantui.

Inggeris telah mengatur rancangan membentuk Malayan Union di Tanah Melayu. Sir Edward Gent, telah dihantar untuk menerajui Malayan Union yang pertama. Beliau telah mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut di Kuala Lumpur. Rakyat menolak penubuhan Malayan Union malah juga ditentang oleh Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu dan rakyat tempatan mula menentang upacara itu dan berkabung selama satu minggu.

Pada tahun 1946, Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan satu kongres bagi semua kumpulan dan pertubuhan politik Melayu di Tanah Melayu. Kongres ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 1946. Dalam kongres tersebut, satu kata sepakat telah dicapai bagi membentuk sebuah parti politik sebagai wakil seluruh orang-orang Melayu di Semenanjung. Hasilnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah dibentuk.

Bermula dari situ satu usaha ke arah memperjuangkan kemerdekaan Malaya telah tercetus dan akhirnya ke arah pembentukan negara Malaysia. Dengan beberapa barisan pejuang yang berjiwa kental yang antaranya terdiri dari Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn, maka pada 31 Ogos 1957 negara tercinta Malaysia telah menyaksikan satu detik bersejarah dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda berakhirnya sebuah penjajahan British di Tanah Melayu.

PERPADUAN POLITIK


Bumi ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Pemimpin yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu sememangnya bukan sedikit.

Namun sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah. Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan 30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima cadangan Malayan Union.

Maka pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union, British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei 1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad.

Terdapat juga kumpulan politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun 1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun 1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA. Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai Perikatan.

Bagi Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya menyertai Rancangan Malaysia pada 1963.

PILIHAN RAYA UMUM PERTAMA


Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

PENGISTIHARAN KEMERDEKAAN


Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menelefon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam 9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci. Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki.

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!"